KENCING MANIS (DIABETIS) PENYEBAB KEMATIAN KETIGA DI BRUNEI DARUL SALAMHerba Diabetis Herba Diabetis: KENCING MANIS (DIABETIS) PENYEBAB KEMATIAN KETIGA DI BRUNEI DARUL SALAM

FB Herba Diabetis

Pages

Thursday, February 8, 2018

KENCING MANIS (DIABETIS) PENYEBAB KEMATIAN KETIGA DI BRUNEI DARUL SALAM



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 November. - Penyakit Diabetis menjadi penyebab ketiga kematian di Negara Brunei Darussalam pada beberapa tahun yang lalu.

Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009 - 2011 telah menunjukkan kadar penyakit Diabetis dalam kalangan dewasa ialah sebanyak 12.5 peratus, dalam erti kata yang lain, kurang lebih 37,000 daripada rakyat dan penduduk di negara kita menghidapi penyakit Diabetis.

Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Md. Kassim menyatakan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia 2015 yang berlangsung di Ruang Legar, The Mall Gadong, di sini.

Dr. Hajah Norhayati yang juga selaku Pengerusi Majlis menambah, kajian telah menunjukkan faktor risiko utama bagi penyakit Diabetis ialah berat badan berlebihan dan obesiti yang juga menjadi isu membimbangkan di negara ini.

Beliau menambah, hasil dapatan Kaji Selidik Kebangsaan Status Kesihatan dan Pemakanan 2009 - 2011 menunjukkan bahawa kadar badan berlebihan dalam kalangan dewasa adalah 33.4 peratus dan kadar obesiti pula adalah 27.2 peratus manakala hasil dapatan dari Kaji Selidik Global School - based Health Sruvey 2014 menunjukkan dalam kalangan remaja berumur 13-17 tahun pula, kadar berat badan berlebihan ialah 35.1 peratus dan kadar obesiti 17.3 peratus.

Selain itu, ujarnya, Diabetis juga disebabkan faktor-faktor risiko tingkah laku yang tidak sihat seperti tidak mengamalkan pemakanan sihat dan juga kurang melakukan kegiatan fizikal.

''Oleh itu, langkah-langkah utama pencegahan dan pengawalan penyakit Diabetis terletak pada perubahan 'mindset' dan tingkah laku setiap individu dan orang ramai melalui amalan cara hidup yang sihat, khususnya, pengawalan berat badan, pengambilan 2 - 3 hidangan buah-buahan dan 2 - 3 hidangan sayur-sayuran setiap hari, mengurangkan pengambilan gula dan lemak bertepu, melakukan kegiatan fizikal berintensiti sederhana 30 minit sehari sekurang-kurangnya lima kali seminggu dan mengelakkan atau berhenti merokok untuk mencegah atau melambatkan kejadian Diabetis jenis 2. Pengesanan awal penyakit Diabetis boleh dilakukan melalui pemeriksaan kesihatan berkala. Mereka yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi penyakit Diabetis, dan wanita yang pernah mengalami Diabetis semasa mengandung adalah berisiko untuk menghidapi Diabetis jenis 2 dan jika mempunyai faktor-faktor risiko tingkah laku seperti yang disebutkan tadi, mereka ini seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara tetap,'' jelasnya lagi.

Dari itu tegsanya, setiap individu itu perlulah bertanggungjawab atas tingkah lakunya sendiri dalam membuat pilihan yang bijak dan terbaik bagi dirinya.

Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin yang juga selaku Penghulu Mukim Gadong 'A' hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan majlis tersebut.

Sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini, iaitu 'Bertindak Sekarang untuk Merubah Masa Depan' (Act Today to Change Tomorrow), objektif utama sambutan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat, khususnya, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah berserta ibu bapa dan penjaga mereka, selain untuk meningkatkan kesedaran orang awam amnya mengenai pengurangan pengambilan gula.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan itu termasuklah pemeriksaan kesihatan secara percuma, pameran kesihatan mengenai pemakanan sihat dan Diabetis, pertandingan interaktif Diabetis atau 'Diabetes Race', dan juga sesi kaunseling bersama Pegawai Permakanan dan Pegawai Podiatri bagi mereka yang menghidapi penyakit Diabetis.

Program berkenaan juga merupakan satu landasan atau peluang untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit Diabetis melalui saringan kesihatan, di samping mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat daripada pakar-pakar yang terlibat.

Dengan adanya sambutan seperti ini, ia diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit Diabetis dan juga langkah-langkah yang perlu diambil bagi pencegahan penyakit tersebut, di samping itu juga, memberikan nasihat dan sokongan kepada para penghidap Diabetis untuk meneruskan usaha-usaha mereka ke arah pengawalan penyakit Diabetis.

Selain itu juga, aktiviti-aktiviti yang dikendalikan juga dapat menjadi salah satu usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan amalan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menerapkan amalan cara hidup sihat bagi mengurangkan kadar penyakit Diabetis dan juga penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain bagi merealisasikan Wawasan 2035 Kementerian Kesihatan, 'Bersama Ke Arah Warga Sihat'.

​sumber : http://bit.ly/2E8oBQk




No comments:

Post a Comment